
GUNUNG SENYUM
Gunung senyum terletak di Felda Jengka 25, Jengka Pahang mempunyai ketinggian setinggi 486meter(1594 kaki). Gunung senyum mempunyai hutan dipterokarp bukit. Terdapat banyak flora dan tumbuhan herba di gunung iniyang mempunyai nilai perubatan. Bagaimanapun, masih ramai tidak mengetahui kisah benar di sebalik kewujudan Gunung Senyum yang memiliki 25 gua dengan pelbagai nama unik dan klasik. Antara gua menarik di sini ialah Gua Terang Bulan Gua Kelamdan Gua Jebak Puyuh. Terdapat juga gua-gua yang masih mengalami proses pertumbuhan stalagtait dan stalagmait. Gua-gua di sini dibawah jagaan PERHILITAN. Antara gua yang menjadi pilihan pengunjung ialah Gua Tapa, Gua Gudang Kelawar, Gua Kolam Tujuh, Gua Batu Merlap, Gua Kambing, Gua Gajah, Gua Silat, Gua Gong dan Gua Danau Impian. Selain itu terdapat juga Gua Mayat, Gua Rangkak, Gua Sisik dan Gua Ular. Gua Kolam dipercayai menjadi tempat bersiram seorang puteri bunian suatu ketika dulu. Gua Nesan menyimpan 19 pasang batu nesan di dalamnya. Gua Merlap dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Orang Bunian malah penduduk turut mendakwa mengenai kehadiran batu bersinar yang tergantung di dalam gua itu.
Terdapat beberapa versi mengenai asal-usul nama gunung senyum ini. Antaranya, dikatakan semasa Sultan Pahang sampai di kaki gunung tersebut, baginda bertanya tentang nama gunung itu kepada para pembesar yang mengiringi baginda. Namun tidak ada seorang pun yang mengetahui nama gunung tersebut sebaliknya para pembesar hanya mampu tersenyum. Antara legenda paling terkenal di Gunung Senyum ialah mengenai kisah Tok Long iaitu seorang lelaki berhati mulia, Tok Long yang dikatakan pernah mengahwini gadis bunian di kawasan gunung ini. Akibat melanggar janji, Tok Long gagal menemui kembali isterinya di alam bunian menyebabkannya mengambil keputusan bertafakur di situ sehingga meninggal dunia. Kubur di Gua Makam Tok Long dikatakan bukti kisah lama yang diperturunkan dari generasi ke generasi.
Gunung Senyum terletak berhampiran dengan Sungai Pahang dan boleh didatangi melalui jalan darat daripada Temerloh atau Jerantut, dahulunya tidak boleh dikunjungi melalui Kuala Krau, tetapi sejak Jambatan Kuala Krau dibina yang menghubungkan Pekan Kuala Krau dan Kampung Rumpun Makmur, Gunung Senyum sudah boleh dikunjungi melalui Pekan Kuala Krau. Jika melalui pekan Kuala Krau, pengunjung perlu menyeberangi Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Dari kajian arkeologi, hutan lipur ini dikatakan menyimpan sejarah kehidupan manusia Zaman Mesolitik. Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) negeri Pahang telah menjadikan puncak gunung Senyum sebagai pusat origin koordinat bagi negeri ini kerana terletak di tengah negeri Pahang.
Sumber diperoleh dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Gunung_Senyum
